“Kak Yati, cermin mata Taufiq hilang,” mengadu adik bongsu saya, Fawwaz tentang kehilangan cermin mata abangnya, Taufiq. “Aduh..hilang lagi”, keluh hati saya. Rasanya ini dah kali kelima cermin matanya hilang untuk tahun ini saja. “Tak apalah Fiq, nanti kita gi beli yang baru”. Hilang cermin mata mudah diganti tapi andai Allah mengambil kembali nikmat penglihatan, tiada penggantinya lagi.

Mata amat penting untuk kita melihat keadaan sekeliling. Andai mata kabur sedikit, boleh dirawat dengan memakai kanta mata. Tapi bagaimana andai mata hati kita kabur? Apakah kesan pada seseorang itu andai mata hatinya kabur untuk melihat hakikat kehidupan ini.

Saya teringat pada ceramah Ustaz Pahrol berkenaan melihat dunia melalui pandangan Pencipta. Katanya, seseorang itu tidak akan mampu mengenali Pencipta andai hanya menggunakan mata kasarnya untuk melihat aspek kehidupan ini tanpa menggunakan mata hati untuk memahami hakikat hidup.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu ditimpa sesuatu musibah, andai mata hatinya tidak celik, dia tidak akan redha dengan musibah tersebut bahkan mungkin akan menyalahkan Tuhan. Akan tetapi andai seseorang itu celik mata hatinya, dia akan redha dan yakin bahawa musibah yang diberi Allah adalah untuk menguji imannya dan pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi yang terbaik buat dirinya.

Oleh itu, marilah kita sama-sama melihat kehidupan ini melalui pandangan Pencipta barulah kita akan merasakan diri sebagai seorang hamba. Apabila kita mempunyai jiwa hamba, kita tidak akan sesekali menyalahkan taqdir kerana kita yakin bahawa segala yang berlaku adalah yang terbaik buat kita kerana Allah tidak akan sesekali memberi sesuatu yang boleh merosakkan hambanya, cumanya kita sebagai manusia selalu berfikir buruk tentang sesuatu perkara itu.

“Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya? Sesungguhnya, (mereka tidak memahami( bukanlah kerana mata yang buta tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembunyi di dada” (Surah Al-Haj 22:46)

“Ya Allah celikkanlah mata hati kami agar kami dapat memiliki jiwa seorang hamba” – Wan -