Alhamdulillah segala pujian bagiMu Ya Allah yang masih memberi pinjam nikmat nyawa untuk diri ini melalui kehidupan sebagai seorang hamba dibumiMu. Alhamdulillah terlalu banyak rezeki yang Engkau beri pada hamba-hambaMu, namun terlalu sedikit kesyukuran yang dipanjatkan padaMu.

Marilah kita sama-sama renungkan kembali segala nikmat yang Allah limpahkan pada kita, jika dibandingkan dengan ujian yang menimpa, terlalu banyak nikmat Allah beri berbanding ujian yang dilanda.

Dalam kita menjalani kehidupan harian, ada kalanya kita diuji. Hajat yang dipohon ditangguhkan Allah kerana hikmah yang tersembunyi. Namun kita sebagai manusia yang lemah kadang-kala tidak mampu menunggu saat dikabulkan sesuatu hajat itu. Sesungguhnya yakinlah bahawa Allah tidak pernah mengecewakan hambaNya yang tidak pernah berputus asa dari berharap padaNya.

Ingatlah bahawa Allah menjawab doa kita dengan caraNya. Kadangkala berkat doa kita, Allah menjauhkan kita dari ditimpa bala. Adakalanya juga Allah memberi sesuatu yang lebih baik dari yang kita minta tanpa kita sedari. Hakikatnya kita sebagai hamba hendaklah sentiasa bersangka baik pada Allah kerana Allah itu bertindak mengikut sangkaan hambanya sebagaimana dinyatakan dalam hadith Qudsi

Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).

Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya (lebih dekat lagi) sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan setengah berlari” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, teruskanlah berdoa dan berdoa kerana doa merupakan kekuatan bagi orang Muslim. Seorang Muslim tidak akan pernah berputus asa daripada berdoa kerana ia sentiasa bergantung pada pertolongan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Kaya.