Setiap orang dianugerahkan dengan rezeki yang berbeza. Ada yang dikurniakan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah, ada yang dikurniakan dengan anak yang ramai dan ada yang dikurniakan dengan kepandaian yang luar biasa. Tidak kurang juga ada yang diuji Allah dengan kemiskinan hidup, kehilangan anak, kegagalan dalam pelajaran dan kerjaya. Hakikatnya semua itu merupakan anugerah dan ujian untuk hamba-hambaNya dalam menguji keimanan dan kesyukuran kita pada yang Esa.

Oleh kerana itu, janganlah kita bermegah-megah dengan sesuatu kurniaan yang Allah beri sehingga kita merendahkan manusia lain. Sungguh kita tidak berhak untuk berasa sombong atau bermegah dengan harta, anak atau kepandaian yang Allah beri kerana semua itu adalah milik Allah yang diberi pinjam untuk seketika sebagai ujian buat kita. Tiba masanya Allah akan mengambilnya kembali. Seharusnya kita berasa rendah diri dengan Allah kerana telah melimpahkan rezeki yang banyak pada kita walaupun kita selalu melakukan dosa terhadapnya. Kita sepatutnya berasa malu pada Allah kerana bermegah-megah dengan hamba lain padahal semua itu adalah milikNya bukan milik kita walau satu pun. Kita tidak layak langsung untuk bangga diri kerana kita hanya seorang hamba. Selayaknya hanya Allah yang boleh sombong, dan bermegah kerana Dia adalah Pencipta kita..Tuhan semesta alam.

Justeru itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri, didik hati kita agar sentiasa tawadhuk dan malu pada Allah yang merupakan pemilik mutlak segala yang ada pada kita. Ingatlah kita adalah peminjam yang seharusnya menjaga segala yang diberi dengan sebaik-baiknya dan tidak melabelkan sesuatu yang diberi pinjam itu sebagai hak kita kerana Allah adalah pemilikNya bukan kita. Semoga dengan pinjaman yang diberi Allah, kita berusaha menjadi hamba yang sentiasa taat pada perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, agar redha Allah mampu kita peroleh didunia dan diakhirat.

(Az-Zumar : 20) “ Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya”