Sempena menyambut ketibaan ‘Eiduladha yang bakal tiba, marilah kita sama-sama merebut peluang yang Allah beri setahun sekali untuk melakukan ibadah Qurban sebagai tanda kesyukuran kita padaNya. Seringkali kita berkira dalam mengeluarkan duit untuk sesuatu ibadah jika dibandingkan dengan perbelanjaan ‘shopping’ dek nafsu yang selalu memujuk ke arah hal-hal duniawi yang akhirnya merugikan kita.

Ingatlah ibadah Qurban yang kita lakukan mampu menjauhkan kita dari ancam bahaya yang akan berlaku pada kita. Janganlah dirisaukan duit tidak mencukupi jika dikeluarkan untuk ibadah Qurban kerana Allah boleh mengambil duit itu bila-bila masa saja. Sebagai contoh, kita berasa sayang akan duit untuk dilaburkan pada ibadah Qurban, tetapi Allah mentaqdirkan kenderaan kita terlibat dalam kemalangan atau kita dirompak dijalanan yang mengakibatkan kerugian yang lebih besar jika dibandingkan dengan harga sebahagian lembu untuk diqurbankan.

Oleh itu, sahabat sekalian, saya menyeru pada diri ini dan pada semua supaya sama-sama kita merebut peluang yang Allah beri ini untuk mempersembahkan sesuatu pengorbanan hanya semata mencari redhaNya dan sebagai tanda kesyukuran kita pada yang Esa atas segala nikmat yang diberi.

Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.”    (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Yakinlah sahabat-sahabat bahawa Allah menjanjikan fadhilat yang besar pada mereka yang sanggup melakukan ibadah Qurban iaitu Allah akan memakbulkan hajat seseorang itu, mengampunkan dosa-dosanya, menghindarkannya dari segala macam bahaya dan juga Allah akan melimpahkan rezeki untuknya dari sumber yang tidak disangka-sangka.

SubhanAllah maha Pengasih Allah pada hamba-hambaNya. Hanya dengan ibadah Qurban, Allah memberi ganjaran yang begitu besar tidak ternilai harganya jika dibandingkan dengan harga Qurban yang kita bayar. Sesungguhnya bukan nilai harga Qurban yang Allah lihat tetapi pada keikhlasan hati seorang hamba yang sanggup korbankan hartanya demi mencari redha dari Tuhannya..Allahu Akbar!!